Friday, June 10, 2011

TENTANG BULAN

Assalamualaikum

Sudah masuk 5Rejab. Seperti biasa, aku menjengah ke luar tingkap dari bilikku. Kelihatan bulan sabit. Jauh. Fikiranku melayang ke suatu zaman yang indah. Sangat indah!

Suatu ketika dahulu, waktu umurku hanya mengenal gembira, mungkin sekitar 6 tahun. Masih lagi seorang budak tadika yang nakal, anak emak dan ayah yang degil. Kalau nak dikatakan kanak-kanak hingusan juga sesuai waktu itu.



Seringkali, apabila tiba waktu Maghrib aku bersama adik yang di bawahku yang umurnya setahun muda dariku, akan berlari dan menjerit-jerit untuk turut ikut serta ayah berjemaah kemasjid walaupun waktu itu kami sendiri tidak tahu betapa besarnya pahala jemaah. Tetapi, kerana kami adalah kanak-kanak yang mengejar kegembiraan, kami merasa gembira dengan masjid dan jemaah serta ditemu ramah pak cik dan mak cik yang layak kami gelar atuk dan nenek yang ada antara mereka sudah pergi menghadap Illahi.

Teringat juga, selalu kami berebut untuk duduk di bahagian belakang sambil masing-masing menarik kain telekung yang berwarni-warni hasil jahitan emak sehingga ke paras lutut. Biasanya, aku lah yang menjadi pemenang. Sambil membonceng, aku dan adik kadangkala akan berbual-bual dan mungkin juga menyanyi.

Seusai solat, anak kecil seperti kami tidak mungkin duduk diam, jadi kami akan berlari-lari kadang-kadang sehingga ke ruang lelaki dan jika nasib baik, kami akan berjumpa dan berbual dengan sepupu lelaki dan kawan-kawan sekolah di kaki tangga. Kisahnya, biasa sekali perihal hantu. Kalau bernasib baik, kadang-kadang kami akan bergaduh kecil sehingga tidak mahu bermain lagi, tetapi esoknya masjid itu kami tandang, berjumpa, berbual dan bergaduh. Begitulah yang terjadi setiap hari sepanjang usia kanak-kanakku. Indah kurasa.

Selepas solat Isya’, aku dan adik akan berlari-lari untuk berebut tempat paling belakang. Pemenang? Masih lagi biasanya aku. Sepanjang perjalanan yang singkat kami bercerita lagi. Tetapi,kerana ayah biasanya membawa motor perlahan, kami dapat menghabiskan cerita kami. Cerita yang sama setiap hari. Tentang bulan.

“Ei, tengok tu bulan tu ikut kita,”

“Haah, ei, geram la. Tak payah la ikut,”

“Wei kenapa bulan nie asyik ikut. Mengada-ngada,”

Kasihan bulan itu dikata-kata oleh kami dua beradik sambil tangan masing-masing cuba ‘menghalau’ bulan yang dikatakan cuba mengekori kami. Tetapi, jika malam itu bulan tiada, mulalah kami yang tercari-cari. Ayah yang mendengar kadang-kadang ketawa kecil dengan gelagat anak-anaknya. Sehinggalah satu hari aku tahu, yang bulan itu tidak pernah terniat mengikut kami. Cerita itu kukongsi dengan adikku. Tapi, tetap seronok berbicara tentang bulan.

Sekarang, adikku sudah besar. Aku apatah lagi. Sepupu dan kawan-kawan sekolah juga. Kini membawa haluan masing-masing tapi masih berasaskan satu perjuangan. Aku ditakdirkan untuk mengutip ilmu di bumi anbiya’. Adikku tetap setia di Malaysia mendalami ilmu untuk bergelar pendidik.

Kejauhan menjadikan aku sering merasa sendirian jika aku memang menyendiri. Bulan menjadi temanku. Bukan sahaja bulan, pesawat yang melintasi kaki langit sentiasa menggamit hati untuk pulang menjenguk keluarga yang dirindui. Rindu kepada masjid yang jarang sekali dijengah anak muda. Tetapi rasanya, anak-anak kecil di kampung menjadi pengunjung setia. Semoga kalian terus menjadi orang yang terus mengimarahkan rumah Allah itu.

Tetapi aku sedari, tidak banyak cerita tentang bulan, yang ada ialah cerita kami. Bulan hanyalah cara untuk mendekatkan kami. Namun, terima kasih kepada bulan yang sering muncul menyinari pekat malam di langit belakang bilikku. Tidak lupa, kepada Maha Pencipta yang telah menciptakan bulan dengan penuh hikmah.

Sungguh, aku merindui zaman itu. Saat itu dan detik itu.

Nota kaki:sehingga atuk pesan, carilah lelaki yang suka ke masjid.

Nota kaki lagi lagi:bulan pusing keliling bumi, tak ada masa nak ikut aku.

p/s:belajar sains dan pergi masjid rajin-rajin.

No comments:

Post a Comment